Wednesday, February 17, 2010

Rombongan Taman Ehsan Tinjau Kesan Dakwah Di Sabah

Pada 8 hingga 15 Disember 2009 yang lalu, satu rombongan dari Taman Ehsan, Kepong, Selangor telah bertandang ke Sabah bagi melalui dan melihat dengan lebih dekat lagi aktiviti, program dan kesan-kesan dakwah di negeri di bawah bayu itu.

Dalam ekspedisi ini, saya berpeluang turut serta dan membawa rombongan seramai 11 orang yang terdiri daripada 3 Muslimin dan 8 Muslimat ini melalui, mengalami dan melihat dengan lebih dekat perjalanan dakwah di negeri yang mana masih ramai rakyatnya dihimpit kesulitan dan kemiskinan terutamanya yang tinggal di kawasan-kawasan pendalaman.

8 Disember 2009, perjalanan pertama rombongan tersebut dari Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) dengan penerbangan pesawat milik syarikat anak Malaysia mendarat di Tawau, yang merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu melalui jalan raya sejauh 500 km, laluan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau dan laut melalui Pelabuhan Tawau.

Sejurus sampai di sana, rombongan dibawa melawat, menziarahi dan bersilaturrahim dengan Haji Azinun, pegawai perlesenan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta bermalam di sana. Layanan mesra Haji Azinun menjadikan beliau mudah didekati.

9 Disember 2009, keesokkan harinya yang disulami cuaca pagi yang cerah dan baik, dengan berkenderaan van, rombongan dibawa melawat ke Semporna dan Pulau Bum Bum, iaitu antara tempat di Sabah yang telah ditaburi dengan beberapa siri program dakwah dan kebajikan kepada penduduk dan masyarakatnya.

Daerah Semporna telah dianugerahkan dengan 5 tapak menyelam bertaraf antarabangsa. Dengan permukaan laut dan airnya yang jernih, tapak-tapak menyelam ini bakal memuaskan hati para pencinta samudera, penyelam skuba dan malahan kepada sesiapa saja yang ingin mengisi masa lapang dengan pengalaman percutian yang menarik.

Begitu juga dengan Pulau Bum Bum, sebuah pulau yang memiliki nilai estetika dan peluang untuk dikomersialkan yang tinggi. Misalnya, dengan pantai dan perairan lautnya yang putih jernih, ia memiliki nilai sepertimana juga Semporna. Manakala rumpai laut di Look Butun, Pulau Bum-Bum, berpotensi tinggi untuk dikomersialkan kerana permintaannya yang berterusan dan atas dorongan kegunaan bahan itu yang luas termasuk dalam bidang pemakanan, ubat-ubatan dan farmaseutikal.

Namun, di sebalik khazanah-kazanah alam kurniaan Allah SWT yang amat bernilai itu, masih ramai penduduk dan masyarakatnya yang jahil dan buta agama. Tetapi anehnya, penduduk dan masyarakat yang jahil dan buta agama ini amat mudah tertarik dan sangat menginginkan kepada pendakwah dan ilmu agama yang disampaikan. Apa yang dapat disimpulkan, disebalik kemiskinan dan serba kekurangan itu, tersirat di lubuk hati mereka keinginan yang kuat untuk mengetahui dan mempelajari ilmu agama. Mereka tidak segan silu untuk belajar sekalipun umur sudah meningkat tua.

Di sini, rombongan menginap di rumah salah seorang penduduk di situ, Hajjah Aisyah namanya. Di rumah Hajjah Aisyah, kami di layan dengan penuh mesra serta dihidangkan makan laut yang segar. Program dakwah di Masjid Bukit Lalang, Pulau Bum Bum, adalah pengisian bagi kunjungan ini.

Keesokkan harinya, 10 Disember 2009, perjalanan diteruskan ke Lahad Datu, Bukit Garam dan Kinabatangan, melalui perjalanan yang dihiasi pemandangan sekitar Sabah yang menarik dan meruntun hati. Dalam perjalanan ini, rombongan berhenti rehat dan menunaikan solat Asar serta melakukan aktiviti dakwah yang berlarutan sehingga waktu Isyak, di Masjid Pengkaan. Seterusnya rombongan bermalam di Sandakan.

11 Disember 2009, dengan sinaran suria pagi yang baik, rombongan bertandang, menziarahi serta menjamah sarapan pagi di rumah Guru Brahim, seorang guru berumur lingkungan 50an yang banyak menyumbang jasa, bakti dan ilmunya kepada masyarakat di situ. Seterusnya rombongan menuju ke Ranau dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-A'sri, Kampung Gambarut, Telupid, Ranau. Setelah itu, ekspedisi diteruskan lagi dengan mengunjungi jamaah Muallaf di Kampung Taviu dan bermalam di Lohan, Ranau.

12 Disember 2009, rombongan menjamah sarapan pagi di Rumah Cikgu Jumil, yang juga merupakan salah seorang aktivis dakwah di Sabah. Rombongan turut di bawa menikmati makan tengah hari di Kampung Silad setelah itu menuju ke Kota Kinabalu dan bermalam di Kiulu dengan mengunjungi rumah Bakhtiar yang merupakan satu-satunya keluarga Islam di Kampung Pokak.

Pada 13 Disember 2009, peserta rombongan menunaikan ibadah qiamullail, solat tahajjud dan seterusnya mengikuti tazkirah di Masjid Bandar Kota Kinabalu. Penerapan ibadah ini di dalam perjalanan program, memberi keinsafan kepada pesertanya.

14 Disember 2009, ekspedisi diteruskan lagi dengan lawatan ke Kota Marudu, sebuah tempat yang telah menerima berbagai bentuk suntikan program-program dakwah yang sudah tentu meninggalkan kesan-kesan menarik untuk diterokai.

15 Disember 2009, peserta rombongan berlepas pulang ke Kuala Lumpur disertai dengan ilmu dan pengalaman yang sukar dilupakan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Roll