Friday, February 13, 2009

Safari Dakwah 2


Pada 24 Mei 2008, jam 12.45 tengahari Ust Shuib Hj Kasim, Imam Masjid Sultan Mizan, Rantau Petronas Dungun, Terengganu telah berangkat ke K.Kinabalu dalam rangka Safari Dakwah ke Sabah. Beliau dibantu oleh Sdr Iliyas Muhammad dan programnya diatur oleh Rosnani Untol. Jam 4 petang, U. Shuib mengunjungi Kampung Lukub, Sepanggar, K.Kinabalu di tempat penempatan orang-orang Suluk.

Pada pagi 25 Mei 2008, mereka berangkat ke Kudat, dalam perjalanan singgah di Sekolah Kebangsaan Pinawantai untuk menziarahi Cikgu Jamaludin yang merupakan penggerak dakwah di daerah Kecil Matunggong dan juga merupakan khatib yang terkemuka di sana. Petang, mereka berangkat dengan feri menuju Pulau Banggi.

Sebelah petang di Pulau Banggi, mereka bergabung dengan 20 murid Madrasah Manzilatul Masakin yang dipimpin oleh Ustaz Basal berangkat menuju Kampung Batulayar. Sampai di sana murid-murid diminta oleh Rosnani pergi menjemput penduduk dari rumah ke rumah untuk datang ke surau untuk mendengar ceramah selepas waktu Maghrib. Hanya 8 orang dari penduduk kampung hadir.

Dakwah berjalan di bawah suluhan lampu minyak tanah, generator tidak dapat dihidupkan kerana kehabisan minyak. Masalah kekurangan air bersih menyebabkan kesulitan sehingga hendak mandi pun perlu berkira-kira. Setelah selesai program dakwah mereka diundang ke Majlis Walimah Urus. Rosnani menginap di rumah Ustaz Basal dan keluarganya. Manakala Iliyas dan Ustaz Shuib di chalet yang terdapat di sana.

Madrasah Manzilatul Masakin sedang dalam pembinaan. Ia diasaskan oleh Ustaz Basal yang pada mula hanya mengajar Al Quran di rumahnya kemudian didatangi oleh remaja-remaja tetangganya. Tidak sampai sebulan muridnya telah meningkat kepada 80 orang. maka masyarakat di Kerakit membangunkan sebuah Madrasah dari tiang pokok bakau dan berlantai papan sisa-sisa buangan dan atapnya dari zink yang telah digunakan.

Pada April yang lalu, seorang hamba Allah dari Kuala Lumpur telah memberi sumbangan sebanyak RM 20ribu untuk pembinaan madrasah bagi menggantikan bangunan yang usang tersebut. Madrasah ini telah melahirkan 20 orang pelajar remaja yang telah berjaya mengkhatamkan Al Quran dalam tempoh masa 6 bulan. Ust Basal yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah mengajar di Madrasah ini secara sukarela.

Madrasah ini masih memerlukan belanja yang tinggi untuk menyediakan prasarana yang lengkap dalam kaedah pembelajaran yang selesa. bahkan memerlukan komitmen semua dalam menggerakkan pembangunan Madrasah ini. Semoga bantuan akan terus mencurah demi melihat pembangunan anak-anak Muslim terus terbela.

Ustaz Basal boleh dihubungi menerusi talian 013-8776321.

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Roll